Monday, December 29, 2008

Hidupkan neon itu...

Aku adalah pemilik rumah itu
rumah yang sangat gelap
yang tidak berneon juga kelam
cuma sedikit cahaya dari luar
yang menembusi rongga-rongga badannya
yang sedikit sebanyak membantu aku berjalan
membantu aku ketemu dengan dapurku
menemani aku membasahi tubuhku
bayang renda langsir menyaluti mejaku
yang senantiasa menunjuk lelah
mengharap agar aku bingkas sedar
jangan hanya menagih lampu luar
supaya aku kenang dan fikir
siapa pembuatnya dan perekanya
yang jerih membogelkan akalnya
menakluk bahan untuk kebahagiaan pemiliknya

Jiran-jiran semakin bisu
barangkali mereka semakin lesu
petah mereka sudah malu
lidah mereka pula mungkin kelu


Tolonglah
Tolonglah hidupkan neon itu

Tuesday, December 23, 2008

Masuklah, pintu tak berkunci!

Tengah aku duduk ngelamun, tiba-tiba aku didatangi oleh seorang nenek tua. Dia tinggal di atas bukit sana. Sebelah rumah dia ada akasia tapi dah gugur daunnya. Nenek tua tu selalu buang gambar-gambar lama dia ke dalam gaung belakang rumah dia. Nenek tua itu selalu pakai baju hitam. Rambut dia panjang. Kulit dia berkedut dan kering. Awan masa itu sangat gelap. Bulan pun malu nak keluar. Nenek tua itu ada berpesan pada aku. Aku masih ingat lagi. "Nak...buang saja gambar-gambar lamamu. Nescaya deritamu pun hilang." Dia ada tunjuk pada aku foto tidak berbingkai arwah suaminya. Arwah suaminya sangat tampan. Dengan uniform tenteranya dan disaluti jubah maruahnya dan di kepalanya terjunjung tengkolok. "Nak, ini nesan nenek, kau simpanlah, nanti bila nenek tiada, kau gunalah." Aku baca nesan itu, tertulis nama 'Melayu'. "Tapi nenek,!" Eh? Dia sudah hilang? Mana?

Kamar nenda

Nenda cepat
cepat kemari
ku mahu kau lihat
foto ini

Tapak-tapak kecil
sangat halus sangat kerdil
harinya ditemukan dengan lantai
tanpa tanya tanpa bantah
persis dengan istiqamahnya
satu, dua, dan tiga
semakin terus langkah empunya diorak
mengharung rumput, debu pasir dan lopak
luas...sangat luas
diharapnya agar dihadapan ada perhentian
supaya bisa dia berehat
supaya bisa dia mengubat
luka-luka kecil di muka
biar dia mencari tenang
dari sang pikuk yang semakin dewasa

Wednesday, December 17, 2008

Kugiran tua

Pernahkah kamu terlihat kugiran tua?
penyanyi dan pemuzik yang senantiasa menemani kaki-kaki lima
dan lorong-lorong pasar
tak pernah jemu menarik dan menolak jari-jemari mereka
menghasilkan bunyian memenuhi ruangan udara si lalu-lalang
satu lagu, dua lagu, tiga lagu, hingga mengah, hingga semput
apakah mereka berbeza dengan kugiran-kugiran komersial yang lain?
dari segi apa? dari sudut mana?
dari beza status materi atau persoalan untuk apa?
simbol tanya timbul atas sini, waima perjalanan mereka gelap,
mereka masih mampu bernafas dalam dunia mereka yang terang
atau hanya aku yang berpendapat dunia mereka terang?
sedangkan seharian mereka terpaksa menelan rasa yang kelat
apa-apapun, doakanlah mereka gembira
mereka layak untuk menerima perasaan itu
Amin

Pengemis gila!

Entahlah. Tengah aku duduk-duduk, teringat pula pada lagu tidak bermelodi yang aku tulis tempoh hari. Liriknya agak basi dan agak pendek. Iyalah, aku pun masih lagi bertatih dalam menulis. Hendak berasa segan, untuk apa. Biar saja aku kumpulkan ia bersama rakan-rakannya yang lain.

Di balik awan sana
ada satu tirai putih
sepoi terbuai kainnya
dipukul angin jernih

Indah-indah pelangi
kulari-lari di kaki
berlegar sebuah puisi
di dalam kamar hati

Terbang sang layang-layang
terbanglah berhenti jangan
jiwa-jiwa yang tenang
menghabiskan sisa petang

Alhamdulillah. Syukur pada Allah SWT. Aku lahir bersama jasadku. Untuk bertemu kamu-kamu sekelian. Dikurniakan akal untuk menilai, deria untuk merasa. Mataku yang kerdil, mampu diguna untuk melihat keindahan ciptaan-Nya. Segalanya sempurna. Walau kompleks mana pun ia, tidak pernah gagal dalam memenuhi fungsi masing-masing. Setiap planet bersama bulan mereka bergerak mengikut paksinya. Kan elok jika setiap manusia itu tahu dan faham dengan fungsi mereka sebagai khalifah. Menjaga setiap rantaian hidupan. Maka tiadalah kebinasaan dan kemusnahan akan berlaku. Biar sungguh ada, kita masih mampu bangun dan belajar. Begitu uniknya cara Yang Esa memberi kita peluang. Ironinya, tidak ramai yang faham dan mengerti akan aturan ini. Termasuklah aku.

Tuesday, December 16, 2008

Kontang

Kutopang-topang dagu, pusing kanan pusing kiri, pandang siling bilik, masih gambar yang sama. Aduh!!! Aku benci saat ini! Saat menunggu sesuatu yang tidak pasti. Sesuatu yang mempunyai rangka kebarangkalian yang luas. Esok merupakan salah satu hari yang penting bagi setiap individu bergelar pelajar. Terdahulu, intipati hari esok telah menyingkap banyak cerita. Dan di sebalik cerita itu sudah tentu mempunyai pelbagai rasa. Setengah orang dengan senyuman yang panjang serta lidah yang tak henti-henti mengucap syukur. Sesetengah yang lain pula hanya sekadar mengeluh menarik muka kelat kerana gagal. Tidak kurang juga yang berhempas-hempas menyatakan ketidakpuasan-hatinya. Manakan tidak, buku sudah berjilid-jilid dibaca. Kertas sudah berhelai-helai diconteng. Dakwat sudah berkali-kali ditukar. Tapi hasilnya masih juga sama.

Cerita-cerita ini pastinya menjadi sejarah. Pastinya menjadi titik perubahan dalam hidup seseorang. Pastinya menjadi pengajaran dan pengalaman yang sememangnya menjadi elemen penting dalam hidup setiap pesona ciptaan yang Maha Mengetahui. Namun, ada pula yang tidak ambil kisah. Tidak ambil peduli dengan perkara yang di hadapan mata. Pada mereka ia hanyalah sebuah perjalanan hidup yang ada pasang-surutnya. Hidup berputar bagai roda katanya. Adakalanya di atas adakalanya pula di bawah. Tapi mereka terlupa yang masa juga sentiasa cemburukan kita. Unsur-unsur takdir pula bermain di benak fikiran. Ah! Biar saja Yang Agung lagi Berkuasa itu menentukan. Yang penting kita sudah usaha. Ada usaha, berkat doa, Insyallah, Dia akan dengar. Kan memang sifat-Nya yang Maha Adil...

=]

Monday, December 15, 2008

Perubahan tolak ideologi manusia

Berabad-abad yang lalu, di suatu jalan menuju Athens, dua orang penyair bertemu. Mereka mengagumi satu sama lain. Salah seorang penyair bertanya, “Apa yang kau ciptakan akhir-akhir ini, dan bagaimana dengan lirikmu?”

Penyair yang seorang lagi menjawab dengan bangga, “Aku tidak melakukan hal lain selain menyelesaikan syairku yang paling indah, kemungkinan merupakan syair yang paling hebat yang pernah ditulis di Yunani. Isinya pujian tentang Zeus yang Mulia.”

Lalu dia mengambil selembar kulit dari sebalik jubahnya dan berkata, “Ke mari, lihatlah, syair ini kubawa, dan aku senang bila dapat membacakannya untukmu. Ayuh, mari kita duduk berteduh di bawah pohon cypress putih itu.”

Lalu penyair itu membacakan syairnya. Syair itu panjang sekali.

Setelah selesai, penyair yang satu berkata, “Itu syair yang indah sekali. Syair itu akan dikenang berabad-abad dan akan membuat engkau masyhur.”

Penyair pertama berkata dengan tenang, “Dan apa yang telah kau ciptakan akhir-akhir ini?”

Penyair kedua menjawab, “Aku hanya menulis sedikit. Hanya lapan baris untuk mengenang seorang anak yang bermain di kebun.” Lalu ia membacakan syairnya.

Penyair pertama berkata, “Boleh tahan, boleh tahan.”

Kemudian mereka berpisah.

Sekarang, setelah dua ribu tahun berlalu, syair lapan baris itu dibaca di setiap lidah, diulang-ulang, dihargai dan selalu dikenang. Dan walaupun syair yang satu lagi memang benar bertahan berabad-abad lamanya dalam perpustakaan, di rak-rak buku, dan walaupun syair itu dikenang, namun tidak ada yang tertarik untuk menyukainya atau membacanya.

~ Khalil Gibran

Pertama kali aku baca karya Khalil Gibran ini, jemariku terus bersungguh ingin menaip. Sememangnya konflik untuk menulis itu tidak harus dijadikan tembok tebal yang tak dapat diroboh. Dalam kasus-kasus unik, aku sendiri semakin keliru dengan tujuan penghuni bumi ini menulis. Apa yang pasti rakan-rakanku di luar sana semakin vokal dalam penulisan mereka. Setiap isi dihiasi dengan bahasa-bahasa indah dan berlagu. Berdenting juga piring pemikiranku betapa hebatnya mereka mengolah apa yang berenang di minda lalu dipindahkan ke dalam bentuk kertas dan dakwat. Mungkin ia terhasil daripada doktrin 'mata pena setajam mata pisau', cukup untuk menghiris hati dan kalbu. Untuk apa pemikiran berlangsung tanpa penyampaian dibuat kepada rakan lain. Komunikasi itukan asas perhubungan. Hari ini orang mungkin tidak suka dengan apa yang kita tulis. Esok lusa siapa yang tahu. Umur mungkin tidak Isa selamanya, tetapi penulisan yang elok akan tetap diratapi.

Meja solek dan cermin hias

Alhamdulillah, akhirnya deria rasa aku kembali
Selamat kembali Izuddin~!


Dia...

Siang sangat panjang

keluh kesah nanti bulan
tunggu burung pulang
jingga segera warna awan

Hari ini aku pulang ke rumah
hari biasa, tiada revolusi aneh berdendang
nunggu-nunggu dia sampai sudah, sampai lemah, sampai bungkam
lagu-lagu perlahan berputar mengikut pusar sendiri
kan elok kalau aku sendiri yang susun komposisi lagu itu
tentu sekali setiap bait, setiap baris, ku tulis nama dia
ah, sekali lagi, aku bukan penulis
enggan cuba, enggan cuba, enggan cuba
akan begitu mahu apa lagi ku tekan butang-butang halus komputer riba ini
biar saja bekas contengan ini
biar saja dia tidur di sini

Loceng-loceng emas dimainkan oleh sang penjual aiskrim
tuntut jiwa kanak-kanak muda ke arah mereka
pinta-pinta duit si ibu supaya dibeli
kan itu contoh keinginan
kau, aku, dia
kita semua adalah pemilik sifat itu
kalau pokok itu mahunya air dan cahaya
perigi mahunya timba
aku pula mahu dia

Percubaan

Ini adalah puisi yang pertama sekali aku karang

Hujan rintik-rintik
hinggap di atap itu
bunyinya cantik
begitu mendayu

Aku ini bukanlah seorang penulis
mata pensilku tidaklah setajam pedang
begitu juga otakku
tetapi kadangkala aku terpanggil ingin menulis di suatu sudut yg tenang
diiringi gitarku yang sumbang
ah...cintaku mungkin bukan di sini
tetapi di mana ia?
di balik-balik batu yang kelabu warnanya?
atau di tengah-tengah tinggalan sejarah lama yang hilang batu asasnya

Tidak
ini adalah percubaan
ingin mendapatkan tempat yang selesa
ingin mempelagiat rakan-rakanku yang sedang menulis
ingin memacak kain rentang yang basah
bersama bayangnya yang mengirai

Kiranya seorang ayah itu barangkali masih mengayuh basikal tuanya
jika titik-titik jernih dari ubunnya masih hangat
terpanggil aku menerobos ke dalam lubuk pendiriannya
ah indah sekali permukaanmu cinta

Prolog

Selamat datang dunia
pagi dan petang
siang dan malam
terang dan gelap

Yang semalam jadi cerita
yang esok jadi teka-teki
acap kali aku rasa hidup ini sangat unik
permainan takdir dan usaha untuk menentukan sesuatu

Kita nampak apa yang di hadapan
kita hendap apa yang di belakang
persoalannya cuma interpretasi yang subjektif
apa, mengapa, di mana, bagaimana

Aku akan menulis
hingga lenguh hingga sebal hingga mual
kerana di hadapan tampak cahaya
yang pasti jadi destinasiku