Tuesday, March 3, 2009

Jaring

Ada seekor labah-labah melekat di dinding
sedang menyulam benang-benang putih
benang-benang itu lantas disusun menjadi ranting
nanti dia mengapung di atas udara jernih
pusingan itu terus sehingga gering
malam habis mudanya berkenalan dengan si jerih
ah, kain itu cukup molek katanya

jalan terus jalan
jingga makin jingga
kalau engkau mahu engkau tak perlu henti
lambat memang tak ada mati juga begitu
nanti Disember lalu kau belajar satu perkara
"lepaskan sahaja..."
nanti jumpa tahun baru
bila pintu masih belum berkunci
sibuk tombolnya masih panas
barulah kau ketemu
apa yang kau cari
bukan hanya baring nunggu lemas

aku tunggu
aku tunggu
aku tunggu

jika semalam itu mitos
jika harini janji
esok nanti harapan

Sunday, February 22, 2009

Jangan copy.

Persembahan dari syurga

Selamat pagi dunia

sekali lagi kita jumpa
berjalan ke sana
ditemani monolog jiwa

ku ingin kau bersama
tapi tembok ini terlalu tinggi
kucuba lompati ia
namun ku gagal lagi

biakannnn
pentas ini terbuka
kerna ini adalah
persembahan dari syurga

oh hujan
jangan engkau berhenti
ku ingin menari
bersama lagu ini

sampai bila..
ku tunggu
sampai bila..
lidah ku kelu

biarkan..
pentas ini terbuka
kerna ini adalah
persembahan dari syurga

oh bulan
ku rayu engkau ada
ku ingin bertemunya
tuk nyanyikan lagu cinta

Monday, February 2, 2009

Persembahan dari syurga

Maaf, sudah agak lama tidak menulis. sibuk dengan kerja. aku paling gemar waktu lepas hujan. aku rasa pada masa itulah semuanya jadi kembali aman. aku berpendapat itulah ketikanya dunia ini berada dalam keadaan yang paling jujur. sunyi, tenang, dengan bunyi rintik hujan dan udara yang nyaman. sangat indah.

ku dongak ke langit
ada banyak bintang
hati pun berbisik
biar mereka persis terang

jiwa aku ini cetek, sekerdil tubuh aku. tapi dengan jiwa aku yang cetek inilah aku merasa. aku akui aku sedang menikmati saat ini. menikmati persembahan dari syurga ini. aku hampir tidak sedar akan dia. aku hampir terlepas dia ketika berjalan. jika tidak kutoleh berulang-ulang kali. aku sangat ingin bersama dia. aku ingin nikmati persembahan ini. aku harap dia juga begitu. aku harap dia juga tak mahu pergi. jujur dan ikhlas aku nyatakan ini.

Monday, December 29, 2008

Hidupkan neon itu...

Aku adalah pemilik rumah itu
rumah yang sangat gelap
yang tidak berneon juga kelam
cuma sedikit cahaya dari luar
yang menembusi rongga-rongga badannya
yang sedikit sebanyak membantu aku berjalan
membantu aku ketemu dengan dapurku
menemani aku membasahi tubuhku
bayang renda langsir menyaluti mejaku
yang senantiasa menunjuk lelah
mengharap agar aku bingkas sedar
jangan hanya menagih lampu luar
supaya aku kenang dan fikir
siapa pembuatnya dan perekanya
yang jerih membogelkan akalnya
menakluk bahan untuk kebahagiaan pemiliknya

Jiran-jiran semakin bisu
barangkali mereka semakin lesu
petah mereka sudah malu
lidah mereka pula mungkin kelu


Tolonglah
Tolonglah hidupkan neon itu

Tuesday, December 23, 2008

Masuklah, pintu tak berkunci!

Tengah aku duduk ngelamun, tiba-tiba aku didatangi oleh seorang nenek tua. Dia tinggal di atas bukit sana. Sebelah rumah dia ada akasia tapi dah gugur daunnya. Nenek tua tu selalu buang gambar-gambar lama dia ke dalam gaung belakang rumah dia. Nenek tua itu selalu pakai baju hitam. Rambut dia panjang. Kulit dia berkedut dan kering. Awan masa itu sangat gelap. Bulan pun malu nak keluar. Nenek tua itu ada berpesan pada aku. Aku masih ingat lagi. "Nak...buang saja gambar-gambar lamamu. Nescaya deritamu pun hilang." Dia ada tunjuk pada aku foto tidak berbingkai arwah suaminya. Arwah suaminya sangat tampan. Dengan uniform tenteranya dan disaluti jubah maruahnya dan di kepalanya terjunjung tengkolok. "Nak, ini nesan nenek, kau simpanlah, nanti bila nenek tiada, kau gunalah." Aku baca nesan itu, tertulis nama 'Melayu'. "Tapi nenek,!" Eh? Dia sudah hilang? Mana?

Kamar nenda

Nenda cepat
cepat kemari
ku mahu kau lihat
foto ini

Tapak-tapak kecil
sangat halus sangat kerdil
harinya ditemukan dengan lantai
tanpa tanya tanpa bantah
persis dengan istiqamahnya
satu, dua, dan tiga
semakin terus langkah empunya diorak
mengharung rumput, debu pasir dan lopak
luas...sangat luas
diharapnya agar dihadapan ada perhentian
supaya bisa dia berehat
supaya bisa dia mengubat
luka-luka kecil di muka
biar dia mencari tenang
dari sang pikuk yang semakin dewasa

Wednesday, December 17, 2008

Kugiran tua

Pernahkah kamu terlihat kugiran tua?
penyanyi dan pemuzik yang senantiasa menemani kaki-kaki lima
dan lorong-lorong pasar
tak pernah jemu menarik dan menolak jari-jemari mereka
menghasilkan bunyian memenuhi ruangan udara si lalu-lalang
satu lagu, dua lagu, tiga lagu, hingga mengah, hingga semput
apakah mereka berbeza dengan kugiran-kugiran komersial yang lain?
dari segi apa? dari sudut mana?
dari beza status materi atau persoalan untuk apa?
simbol tanya timbul atas sini, waima perjalanan mereka gelap,
mereka masih mampu bernafas dalam dunia mereka yang terang
atau hanya aku yang berpendapat dunia mereka terang?
sedangkan seharian mereka terpaksa menelan rasa yang kelat
apa-apapun, doakanlah mereka gembira
mereka layak untuk menerima perasaan itu
Amin